Tidak kedekut
Janganlah kedekut berbelanja untuk diri sendiri dan keluarga, terutama bagi memenuhi keperluan-keperluan wajib. Sifat bakhil bukanlah sifat seorang Muslim.
Di dalam hadis disebut: "Berhati-hatilah dengan sifat kikir kerana sesungguhnya umat sebelum kami telah binasa disebabkan kekikiran. Sifat kikir telah mengarahkan mereka agar memutuskan hubungan, lalu mereka memutuskannya, mengarahkan mereka agar kedekut, lalu mereka pun menjadi kedekut, mengarahkan mereka agar melakukan keburukan lalu mereka pun melakukan keburukan."
Di samping itu, Islam juga tidak mahu umatnya hidup sehingga tidak mahu menikmati yang halal seperti berpakai cantik atau makan dan minum yang enak-enak.
Berbelanja untuk yang berhak
Berbelanjalah untuk yang hak dan jangan sesekali mengabaikannya. Contohnya membayar zakat, memberi nafkah kepada ibu dan bapa, meraikan tetamu yang datang ke rumah, membantu orang yang di dalam kesusahan, bersedekah kepada fakir miskin bagi memenuhi keperluan asas mereka, menderma untuk golongan yang ditimpa musibah dan sebagainya.
Seorang Muslim mestilah mempunyai bajet yang seimbang, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada hidup berhutang. Hutang membawa keresahan di malam hari dan kehinaan di siang hari. Rasulullah s.a.w. juga selalu berdoa meminta perlindungan daripada Allah s.w.t. daripada hutang kerana hutang boleh menyebabkan seseorang berbohong apabila bercakap dan mungkir apabila berjanji.
Tidak membazir dan keterlaluan
Anjuran ini juga adalah untuk umat Islam tidak berlebih-lebih dalam berbelanja, kerana Allah s.w.t. berfirman: "Janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan." (Al-A'raf 32)
Nabi s.a.w. juga mengingatkan: "Makanlah kamu, minumlah kamu, berpakaianlah kamu dan bersedekahlah kamu selama mana ia tidak disertai dengan berlebihan."
Usah tenggelam dalam kemewahan
Sikap terlalu berlebihan atau terlampau dalam menikmati hidup perhiasan, emas, perak, kenderaan perabot dan sebagainya dinamakan al-taraf . Islam mengharamkan fenomena kehidupam yang ditenggelami kemewahan melampau ini kerana ia boleh merosakkan kehidupan individu dan masyarakat.
Kemewahan adalah penghalang kepada manusia untuk mengikut kebenaran kerana mereka akan lebih cenderung mengikut nafsu syahwat, terjerumus kepada kelalaian, dijangkiti penyakit akhlak dan keruntuhan moral.
Di dalam surah al-Israk: "Dan apabila Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (untuk mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah layak berlaku ketentuan Kami, kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."
Post a Comment