Green Tea
Tuhan yang beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.
Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya.
Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang kosong. Tanpa wang, tanpa harta.Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.
Allah swt berfirman :
“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” – [Surah al-Anfal : 28]
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – [Al-Baqarah 2:155]
Bila diuji, bersabarlah.. dan senyumlah..
Cappuccino
Ada yang yang berpendapat, manusia hidup bertujuan untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Bangun sahaja pagi-pagi, sudah memikirkan apa yang dimakan hari ini, berapa banyak rezeki yang akan diperoleh, krisis dengan manusia dan sebagainya. Ini semua punca stres.
Hairan, manusia hakikatnya tidak sedar bahawa mereka sebenarnya lebih kerap stres kerana risaukan urusan dunia, bukan kerana risaukan urusan akhirat. Bukan begitu? Jarang yang berasa tertekan kerana belum lagi solat ataupun tertinggal solat. Jarang yang risau andai sehari yang berlalu dalam hidupnya tidak diisi dengan amalan soleh yang boleh menyelamatkannya daripada azab akhirat.
Lihat Nabi Adam a.s., saat diarahkan keluar dari syurga dan diturunkan ke dunia, tangis Nabi Adam a.s. berpanjangan. Baginda merintih dan merayu dalam doanya. Nabi Adam tertekan kerana kesal dengan dosanya.
Lihat pula kepada Rasulullah, Baginda pernah tidak dapat tidur malam kerana tidak bersedekah dalam satu hari. Tetapi manusia lain sebaliknya, tertekan dan tidak dapat tidur malam memikirkan wangnya akan berkurangan kerana bersedekah.
Kita bagaimana? Jika memilih untuk rasa stres, pilihlah untuk stres kerana akhirat berbanding stres risaukan urusan dunia.