- by Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz -
“Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa” (Surah Al-Baqarah 2:177).
Sesungguhnya pendekatan ‘berkebajikan’ sudah dua dekad dilaksanakan di Kelantan, iaitu sebaik sahaja PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri. Ia satu pendekatan yang selari dengan kehendak Islam, kerana ajaran Islam sendiri mengutamakan urusan berkebajikan di dalam amalan berkerajaan. Urusan ini adalah sesuai dengan sifat Kelantan sebagai Serambi Mekah dan ‘Negeri Tadahan Wahyu’ yang bercirikan baldatun toyyibatun warabbun ghofur.
“Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun!” (Surah Saba’ 34:15).
Justeru itu, sejak saya menyandang jawatan Menteri Besar bermula 1990 lagi saya tidak pernah mengambil pemberian elaun-elaun kerajaan sebagai tanda bersederhana dalam hidup. Amalan ini saya panjangkan pula kepada semua wakil rakyat. Ia suatu langkah berkebajikan kerana elaun yang tidak diambil itu boleh dimanfaatkan bersama rakyat atau membantu rakyat meskipun ia nampak kecil. Sebagai contoh sebulan elaun dapat RM5,000, dan cuba bayangkan kalau setahun sudah mencapai RM60,000.
