Showing posts with label Taqwa. Show all posts
Showing posts with label Taqwa. Show all posts
Cappuccino


Bagi orang mukmin, ilmu adalah penyuluh hidupnya. Pengalamannya adalah pengajaran, iktibar dan penasihatnya. Takutnya kepada Tuhan adalah pengawal diri. Sabarnya adalah perisai hidupnya. Redha dengan Tuhan kerana baik sangka dengan Tuhannya. Tawakalnya adalah harapan masa depannya. Bacaan Al Quran adalah hiburannya dan bercakap-cakap dengan Tuhan. Juga perbualannya dan bercakap dengan Tuhan Pencipta manusia. Selawat adalah penyejuk dan pelembut hatinya. Doa dan permintaannya kepada Tuhannya tanda dia hamba. Hamba adalah hina, lemah, memerlukan pertolongan Tuhannya. Sembahyang adalah pembaharuan ikrar dan membaharukan syahadah. Serta membersihkan jiwa dari mazmumah. Begitulah peranan setengah daripada sifat-sifat mahmudah. Juga setengah daripada peranan mendirikan solat. Kalau begitu cuba gambarkan orang yang tidak bersembahyang. Yang juga memiliki sifat-sifat mazmumah. Ertinya segala masalah berkumpul di kepala dan jiwanya. Bagaimana tidak menderita dan terseksa. Mampukah menanggungnya?
Dalam jalan ke arah Usaha Taqwa, ilmu Fardhu Ain adalah sangat penting dan diperlukan sebagai penyuluh kepada perjalanan menuju Allah  dalam usaha membaiki diri, mempertingkatkan diri, melatih diri, menjadi orang yang bertaqwa serta mendapat redha dan kasih sayang Allah. Maka Fardhu Ain memainkan peranan bagi setiap Muslim sebagai panduan hidup di dunia sebagai persiapan ke alam akhirat yang kekal abadi.
Di dalam ajaran Islam, secara umum ilmu-ilmu Fardhu Ain yang penting itu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
1. Usuluddin (aqidah)
2. Feqah (syariat)
3. Tasawuf (akhlak)
Dalam pengamalannya, setiap orang Islam mestilah melaksanakan secara serentak ketiga-tiga ilmu tadi. Sama ada dari segi teori mahupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya.
Tiga ilmu ini merupakan tiga serangkai yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Kalau dipisah pisahkan salah satu daripada tiga serangkai itu, maka akibatnya rosaklah yang lainnya. Ertinya amalan Islam itu menjadi sah apabila ketiga-tiga ilmu tersebut dilaksanakan sekaligus dan serentak. Ia tidak boleh diamalkan satu-satu sahaja tanpa yang lain. Ber`feqah’ saja atau ber`usuluddin’ saja atau berakhlak saja, tentu akan merosakkan ke-Islaman seseorang. Jadi tiga serangkai ilmu ini tidak boleh dipisah-pisahkan dalam seluruh tindakan hidup. Kalau dipisahkan dalam pengamalan seharian, paling tidak seseorang itu akan jadi orang fasiq. Bahkan berkemungkinan ia akan jatuh kepada kafir tanpa ia sedar.