Cappuccino
- by Ustaz Zul Ramli M. Razali -



Jangan rasa selesa setelah rasa beriman kerana nikmat itu belum terjamin sampai ke penghujung.

Syair Arab ada menyebutkan: Setiap sesuatu apabila hilang akan ada penggantinya, Tidak bagi Allah, apabila Dia hilang, tiada yang dapat menggantinya.

Hilangnya Allah di sini bermaksud hilangnya hidayah Allah. Tiada siapa yang dapat mengembalikan hidayah sekiranya hidayah Ilahi tercabut daripada dada seseorang. Mari belajar daripada Iblis, bukan belajar dengan Iblis.

Di dalam al-Quran, kisah Iblis yang menerima laknat Allah diceritakan berulang kali. Ia diceritakan dari pelbagai sudut, namun satu hakikat yang sama adalah, Iblis yang asalnya makhluk pilihan yang sangat mulia, berakhir mendapat kutukan daripada Allah. Hidayah Allah tercabut daripadanya. Dia gagal mendapat Hidayah Istiqamah.

Belajar daripada kisah Iblis ini menghantar kita kepada satu kesedaran bahawa hidayah yang telah ada dalam diri seseorang perlu kekal sampai bila-bila di dalam dirinya. Jangan rasa selesa setelah rasa beriman kerana nikmat itu belum terjamin sampai ke penghujung.

Bersyukur, bermujahadah dan terus berdoa agar kekal mendapat hidayah adalah jalan terbaik bagi meraih hidayah istiqamah:


"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati kami setelah Engkau berikan kami hidayah ... dan kurniakanlah kami daripada perbendaharaan rahmat-Mu." "Ya Allah, sudahilah  (matikanlah) kami dengan kesudahan yang baik, jangan sudahi (matikan) kami dengan kesudahan yang buruk."

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, mantapkanlah hati kami di atas agama-Mu."

Jangan berpuas hati berada di jalan yang lurus sekarang, takut-takut ia bengkok di penghujungnya. Biarlah lurus dan terus kekal lurus sampai ajal datang menjemput. Ingat pesanan Rasulullah s.a.w. : "Ada di kalangan kamu yang melakukan amalah ahli syurga sehingga dia dengan syurga hanya tinggal sehasta untuk memasukinya, datang baginya ketentuan maka dia berubah melakukan amalan ahli neraka. Lantas dia dimasukkan ke dalam neraka!" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cermin Ajaib: Sentiasa muhasabah diri. 
Labels: , ,
0 Responses

Post a Comment