Green Tea
Sejak kebelakangan ini penulis sering dihujani dengan soalan-soalan berkaitan jamaah dan apakah maksud sebenar jamaah itu, tak kurang juga beberapa orang sahabat dan adik-adik yang bertanya tentang pendekatan dakwah yang sebenar bagi menjelaskan Islam secara menyeluruh. Penulis merasakan ramai sahabat yang agak terkeliru dengan maksud sebenar jamaah sehingga menyebabkan mereka yang terkeliru ini menjadi taksub membuta tuli, mudah menghukum orang yang tidak satu jamaah dengannya dengan pelbagai label.. munafiq, bughoh, pengkhianat dan bermacam-macam lagi label.
Penulis menyeru agar sahabat-sahabat meneliti firman Allah subhanahu wata`ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102) وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”(ali-Imran 3:102-103)
Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya menafsirkan tali Allah sebagai al-Quran (Tafsir al-Quran al-`Azhim, Ibn Kathir juz 2, ms 89, Maktabah Syamilah Edisi ke 2)
Seterusnya beliau membawa hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلَاثًا فَيَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radiallahu`anhu katanya: Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah meredhai ke atas kamu tiga perkara dan membenci ke atas kamu tiga perkara, kamu mengabdikan diri kepadaNya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, kamu berpegang dengan tali Allah (agamaNya) dan tidak berpecah belah.” (HR Muslim no:3236)


Ayat di atas mengandungi arahan Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya mensyukuri nikmat yang besar (perpaduan diantara kaum muslimin), supaya bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa, melaksanakan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat, mengikhlaskan segala amalan hanya kepadaNya, mendirikan agama Allah, berpegang dengan tali Allah yang Dia menghubungkannya kepada mereka, dan Dia menjadikan sebab (penyatuan) di antara mereka dengannya iaitulah agama dan kitabNya, dan kesepakatan di atasnya dan larangan daripada berpecah-belah, dan perintah agar mereka sentiasa konsisten di atasnya (al-Quran) sehingga mereka menemui kematian. (Taisir al-Karim Ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, Syeikh Abd Rahman Nasir as-Sa`di, ms: 130, Dar al Hadith Kaherah)
Firman Allah taala lagi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-nisa` 4:59)
Menurut Imam Ibnu Jarir al-Tabari [1], terdapat perselisihan di kalangan ulama` dalam mentafsirkan ayat ini, setengah mereka berpendapat, ia merupakan perintah dari Allah supaya mengikut sunnahnya. Kalangan lain pula berpendapat, ia merupakan perintah Allah supaya mentaati Rasul semasa hayat mereka. Pendapat yang tepat ialah ia merupakan perintah Allah supaya mentaati RasulNya semasa mereka hidup dengan melaksanakan semua perintah dan menjauhi laranganya, dan selepas wafatnya dengan mengikuti sunnahnya. Nas-nas yang memerintahkan supaya mentaati Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam adalah berbentuk umum dan tidak terbatas semasa hidupnya sahaja. Perintah tersebut tidak dikhususkan kepada para sahabat Rasulullah sahaja. (Jami` al-Bayan fi t a`wil al-Quran, Ibnu Jarir al-Tabari 4: 150)
Syubhat Dalam Persoalan Jamaah
Pada mulanya penulis enggan mengulas permasalahan jamaah dikalangan rakan-rakan. Bagi penulis selagi mana mereka tidak taksub kepada jamaah mereka maka ianya tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah yang serius apabila segelintir ahli jamaah yang taksub dengan jamaahnya sehingga sesiapa yang meninggalkan jamaahnya atau tidak sependapat dengan pimpinannya akan dituduh dan dilabel dengan pelbagai tuduhan yang liar.
1. Menyalahgunakan nas-nas agama (al-Quran dan al-Hadith) untuk mengukuhkan pendapat mereka sekaligus bertindak menghukum sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan mereka.
Antara nas yang sering digunakan;
من فرق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الإسلام من عنقه
“Barangsiapa yang memisahkan diri dari al-jamaah sejengkal sahaja maka ia telah meninggalkan ikatan Islam dari lehernya.” (Shahih, al-Albani Zhilal al-Jannah fi takhrij As-Sunnah li Ibn Abi `Ashim , no:892, Shahih Sunan Abi Daud no;4758, Shahih at-Tirmidzi no:2863)
Juga nas ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
عليكم بالجماعة وإياكم والفرقة فإن الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد ومن أراد بحبحة الجنة فعليه بالجماعة
“Tetaplah kamu bersama al-Jamaah dan jauhilah perpecahan, sesungguhnya syaitan selalu bersama orang yang sendirian dan ia lebih jauh dari yang berdua dan siapa yang ingin tinggal di tengah-tengah kebun syurga maka hendaklah tetap berpegang dengan al-Jamaah.” (Shahih, al-Albani Zhilal al-Jannah fi takhrij As-Sunnah li Ibn Abi `Ashim , no:88)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
من خرج من الطاعة وفارق الجماعة فمات ؛ مات ميتة جاهلية
“Barangsiapa yang keluar dari ketaatan dan meninggalkan al-jamaah, maka ia mati dalam keadaan jahiliyyah” (al-Albani, Muktashar Silsilah as-Shahihah no:983)
Nas ketiga- tiga hadith di atas merupakan antara contoh nas yang sering digunakan untuk menghukum seseorang yang bertindak keluar dari jamaah mereka. Banyak lagi nas yang digunakan, memadailah penulis membawakan tiga contoh nas yang sering di salah gunakan untuk menghukum mereka yang keluar dari jamaah mereka dengan pelbagai tuduhan dan akhirnya menjadi hujjah kepada mereka untuk bertindak memulau ahli mereka yang kononnya berpaling tadah dari medan perjuangan.
Berikut jawapan yang membantah kesalahan mereka:
Kata “al-Jamaah” dalam kitab hadith-hadith, tafsir yang muktabar [2], memiliki banyak maksud antaranya:
a) Kumpulan ulama mujtahidin (dan ijma` mereka) as-Sawadul al-`Azham.
b) Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam dan para sahabatnya.
c) Negara Islam dengan imam/khalifah yang sah
d) Al-Haq (kebenaran)
a) Pendapat pertama menyatakan “al-Jamaah” ialah kumpulan di kalangan ulama mujtahidin (ijma` mereka), mereka berhujahkan dengan hadith ini:
حَدَّثَنِي أَبُو خَلَفٍ الْأَعْمَى قَالَ سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أُمَّتِي لَا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلَالَةٍ فَإِذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ
Diceritakan kepadaku Abu Khalaf al-`Ama katanya: Aku mendengar Anas b.Malik berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat dalam kesesatan, jika kalian melihat perselisihan maka hendaklah kalian berpegang dengan al-Sawad al-`Azham” (HR Ibn Majah no:3940, Ahmad no:17722,18544, Mushannaf Ibn Abi Syaibah juz 8,ms:731, al-Mustadrak juz 1,ms:378)
b) Pendapat kedua maksud “al-Jamaah” ialah Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam dan para sahabatnya, pendapat ini lebih tepat dan hujjahnya ialah hadith ini:
حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Diceritakan kepadaku Yahya b.Abi al-Mutha` katanya aku mendengar Irbadh ibn Saariyah berkata: Suatu hari, Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam berdiri di kalangan kami dan menasihati kami dengan suatu nasihat, yang dengan nasihat itu gementar hati-hati, dan hampir mengalir air mata disebabkan nasihat itu dan dikatakan kepadanya: “Ya Rasulallah, engkau menasihati kami dengan nasihat yang seolah-olah engkau akan berpisah dengan kami selamanya maka berikan kami dengan suatu janji (wasiat)”, maka Rasulullah bersabda: “Hendaklah kalian bertaqwa kepada Allah, dengan dengar dan taat (patuh) walaupun kepada seorang hamba habsyi dan kalian pasti akan melihat selepas pemergianku nanti perselisihan yang sangat banyak, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa` ar-Rasyidin yang ditunjuki, gigitlah ia dengan gigi geraham, dan berjaga-jagalah kalian dari perkara-perkara baru yang diada-adakan kerana setiap bid`ah itu adalah menyesatkan.” (Shahih, HR Ibn Majah no:42, Tirmidzi no:2600, Ahmad no:16519, Hakim no:301, Ibn Hibban no:5)
c) Ulama yang mengatakan maksud “al-jamaah” ialah negara Islam dengan imam/khalifah yang sah berhujahkan dengan hadith ancaman mati dalam keadaan jahiliyyah bagi mereka yang keluar dari jamaah yang ditafsirkan oleh hadith ini:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
Daripada Ibn `Abbas radiallahu`anhuma daripada Nabi sallallahu `alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang membenci daripada pemerintahnya dalam sesuatu urusan, hendaklah dia bersabar kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar (mencabut) ketaatan daripada sultan (penguasa/pemerintah) walaupun sejengkal maka ia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (HR Bukhari no:6530)
Berkata Ibn Bathhal:
“Hadith ini menjadi hujjah (bukti) larangan mencabut ketaatan kepada sultan (penguasa/pemerintah) walaupun dia pemerintah seorang yang zalim.” (Fathul Bari, Ibn Hajar al-`Asqalani, juz 20, ms 58)
Apa yang paling tepat ialah al-jamaah ialah al-haq (kebenaran) iaitulah jalan yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam dan para sahabatnya. Sepertimana di dalam hadith perpecahan umat Islam yang akan berpecah sebanyak 73 golongan kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok, sahabat bertanya siapakah mereka lalu Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam menjawab:
مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
“Apa yang serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku.” (Tuhfatul al-ahwazi juz 6, ms 440, Tirmidzi berkata: Hadith ini hasan dan gharib.)
Malah menurut Ibn Hajar al-`Asqalani maksud “al-Jamaah” yang sebenar ialah para Sahabat Nabi sallallahu `alaihi wa sallam, dan ahli ilmu yang Allah jadikan mereka sebagai hujjah dalam urusan agama (Fathul Bari, Ibn Hajar al-`Asqalani juz 20, ms:89)
Sudah jelas di sini tidak ada satu ulama ahli Sunnah pun yang menafsirkannya dengan organisasi-organisasi dakwah, parti-parti politik atau pertubuhan-pertubuhan.[3] Kecuali ulama di kalangan jamaah mereka juga.
2. Mereka menyamakan diri mereka dengan situasi ketika Dakwah Islam masih di peringkat permulaan (period makkiyyah) seolah-olah selain dari ahli jamaah mereka merupakan penganut-penganut jahiliyyah (yang tidak memahami perjuangan sebenar) sedangkan Islam sudah sempurna dan hanya yang tinggal buat umat Islam ialah menuntut ilmu dan berdakwah dengan ilmu yang dipelajari melalui pelbagai pendekatan semasa.
3. Hasil dari kurang kefahaman dan kedangkalan ilmu segelintir mereka ahli-ahli bawahan mereka yang kekurangan ilmu dipaksa dan diikat dengan bai`ah atau sumpah taat setia. Akhirnya menjadilah ahli-ahli yang baru ini bagai “Lembu yang dicucuk hidung” apa sahaja arahan atau tindakan yang pemimpin mereka lakukan mereka hanya bertaklid buta tanpa mengkaji dan meneliti nas-nas al-Quran dan al-Hadith yang digunakan oleh pimpinan mereka.Jika mereka keluar dari jamaah pelbagai ancaman dan ugutan dikenakan.
4. Mereka juga hanya akan menerima pendapat hanya dari pimpinan dalam jamaah mereka sahaja, mereka menolak pandangan golongan ulama atau ahli ilmu yang bukan dari jamaah mereka, walaupun ternyata pimpinan mereka kurang dari sudut ilmu dan kelayakan dalam bidang tertentu.
5. Mereka tidak memahami fokus dakwah para nabi dan rasul ialah memperbaiki akidah, dan mengajar ibadah yang shahih. Justeru, fokus mereka hanyalah tertumpu kepada politik semata-mata. Mereka mengabaikan manifesto dakwah para nabi dan Rasul iaitu memperbetulkan akidah dahulu.
Penulis sentiasa berlapang dada dengan sesiapa sahaja yang sudi menegur dan memberi pandangan kepada penulis, namun penulis menolak sikap taksub dan melampau. Penulis tidak menolak politik dalam Islam kerana ianya merupakan sebahagian daripada kehidupan, sedangkan Islam ini adalah “the way of life”. Namun penulis menolak politik yang tidak berprinsip, kotor dan melampau.
Politik tidak berprinsiplah yang akan membawa kepada kita mudah bertoleransi dengan musuh-musuh Islam yang jelas seperti Syi`ah Rafidhah yang dan kelompok-kelompok yang terkeluar dari Islam [4].
Seharusnya kita sebagai mahasiswa Islam perlulah memberikan fokus yang sepenuhnya dalam menuntut ilmu, mengkaji dan meneliti dengan penuh ilmiah, kita perlu sedar tanggungjawab kita bukanlah semata-mata untuk bepersatuan atau berpolitik semata-mata. Tugas kita sebagai da`ie ialah untuk memperbetulkan kerosakan yang berlaku di kalangan masyarakat terutamanya pegangan akidah dan akhlak masyarakat yang semakin hari semakin parah.
Penulis tinggalkan kepada rakan-rakan pesanan junjungan besar, Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ
“Wahai Manusia, berjaga-jagalah kamu dari ghuluw (melampau) di dalam agama, sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kamu (Yahudi dan Nashrani) kerana disebabkan sikap mereka ghuluw dalam agama.” (Shahih, HR Ibn Majah no:3020, Ahmad no:3078, Thabarani dalam Mu`jam al-Kabir no:6950, Silsilah as-Shahihah al-Albani no:1283)
Faqir ila Allah,
Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi
01:08 a.m
19 Safar 1430H/14 Februari 2009
APIUM Nilam Puri
Kota Bharu,Kelantan.

Labels: ,
1 Response
  1. johnny Says:

    I have read a few of the articles on your website now, and I really like your style of blogging. I added it to my favorites blog site list and will be checking back soon. Please check out my site as well and let me know what you think.
    Prom Dresses


Post a Comment