- Ustaz Amaluddin Mohd Napiah -
Tiada manusia semulia dan seagung junjungan Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda mulia die dunia dan mulia di akhirat. Mulia di sisi Allah dan mulia di sisi makhluk. Maka, tiada siapa pun yang lebih layak memasuki syurga paling awal kecuali Baginda. Bagindalah manusia pertama yang memasuk pintu syurga Allah.
Dariapada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pada hari kiamat nanti aku akan mendatangi pintu syurga, kemudian aku meminta agar dibukakan (pintunya). Maka penjaga bertanya, 'Siapa anda?' Aku menjawab, 'Muhammad.' Selanjutnya dia berkata, 'Aku diperintahkan agar membuka pintu ini hanya untukmu dan ianya dilarang bagi seorang pun sebelummu.'" (Riwayat Muslim)
Daripada Huzaifah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Semua anak Adam berada di bawah benderaku pada hari kiamat, dan aku orang pertama yang dibukakan pintu syurga." (Shahih al-Jami')
Q Apakah kerinduan ahli syurga?
A Setiap Mukmin merindui untuk kekal bermaustautin di dalam syurga. Berehat, bersenang-lenang dan bersedap-sedap di dalamnya. Namun begitu, sebenarnya masih ada kerinduan yang hebat daripada itu lagi. Apakah dia? Rindu untuk menjadi teman dan tetangga Rasulullah s.a.w. di dalam syurga. Rindu untuk menghuni syurga yang dihuni oleh Rasulullah s.a.w., sekali gus berada bersamam-sama Baginda.
Kenapa kita mahu bersama dengan Baginda di akhirat sana? Kalau kita benar-benar cinta dan rindu kepada Nabi Muhammad s.a.w., sudah tentu kita ingin bersama Baginda Rasulullah s.a.w. diakhirat kelak. Ayuh, kita berbaris di bawah bendera dan panji-panji Baginda!
Q Apa yang perlu kita ada untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. di syurga?
A Rabiah bin Kaab al-Aslami bercerita, "Aku pernah bersama Rasulullah s.a.w. pada suatu malam, lalu aku menyiapkan air wuduk dan semua keperluan Baginda. Baginda bersabda, 'Mintalah sesuatu'."
"Aku menjawab, 'Aku meminta kepadamu agar kelak boleh menemanimu di syurga.' Baginda menjawab, 'Ada lagi selain itu?'"
"Itu sahaja cukup wahai Rasulullah," jawabku.
Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika demikian, bantulah aku atas dirimu (untuk memenuhi keinginanmu) dengan memperbanyakkan sujud." (Riwayat Muslim)
Q Apakah teladan yang boleh diambil daripada kisah ini?
A Rabiah bin Kaab adalah contoh 'kebijaksaan' para Sahabat dalam menyatakan sesuatu hajat kepada Rasul s.a.w.. Dia amat yakin, apa sahaja yang Rasulullah minta kepada Allah pasti akan dimakbulkan-Nya. Maka, saat Rasulullah s.a.w. memberi ruang dan peluang kepadanya untuk meminta, dia tidak mahu kehilangan kesempatan keemasan tersebut.
Rabiah bin Kaab meminta sesuatu yang tidak ada tandingannya iaitu menemani Rasulullah s.a.w. die Jannah al-Firdaus. Bagi Rabiah, tidak mengapa dia tidak memiliki harta dunia asalkan dia tidak terpisah dengan Rasulullah s.a.w. die dunia dan di akhirat.
Ironi, tidak ada ertinya andai kita memiliki segala kemewahan di dunia tetapi tidak memperolehi cinta kasih dan syafaat Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. mengabulkan permintaan dan hajat Rabiah r.a. Hanya Baginda meminta Rabiah 'membantu' agar dikabulkan doa dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat).
FAKTA
Rasulullah s.a.w. suka menamakan barang-barang kepunyaan.
Unta: al-Qiswah
Keldai: Ya'fur
Baghal: Duldul
Pedang:
- Al-Mathur
- Zulfaqar
- Al-Adb
- al-Battar
- Hatf
- Al-Mikhdam
- Al-Rasub
- Al-Qadib
- Al-Qal'a (Al-Qal'i)
Post a Comment