Cappuccino
- by Ustaz Anwar Mohamad -

Inilah ungkapan khalifah Islam yang kedua, sahabat besar Baginda s.a.w. yang telah disabdakan, "Jika setelahku diutuskan nabi, Umarlah orangnya."

Daripada ibn Umar r.a., sabda Baginda s.a.w. lagi, "Sesungguhnya Allah meletakkan kebenaran itu di atas lidah Umar." 

Menyelusuri detik-detik kewafatannya, ia dilalui dengan penuh tragis; ditikam oleh seorang hamba Majusi bersama Abu Lu'luah. Ketika itu Khalifah Umar sedang khusyuk mengimami solat Subuh. Perit menanggung kesakitan tikaman, masih lagi memikirkan hubungannya dengan manusia serta hubungannya dengan Pencipta melalui soalannya:
"Siapakah yang menikam diriku?" 

Bimbang ketidakadilan pemerintahannya membuatkan manusia berdendam dengannya.
"Sudahkah daku mengerjakan solat?"
Bimbang akan tanggungjawabnya dengan Allah jika belum tertunai. Saat itu tergambar bahawa telah termakbul doanya dahulu:
"Ya Allah! Matikanlah aku syahid di jalan-Mu dan di dalam nengeri-Mu."

Terus bercita-cita ingin bersama kekasih murabbi agung, Sayyiduna Muhammad s.a.w.. Ketika di atas ribaan anaknya, Ibn Umar, beliau menyuruh agar kepalanya diletakkan di lantai. Acap kali beliau pengsan, diangkat semula kepalanya ke pangkuan. Saat tersedar, disuruh meletakkan kepalanya di lantai semula. Perlakuan ini menghairankan si anak serta sahabat yang berada di sekeliling. Jawab Umar apabila ditanya:
"Celakalah diriku! Celakalah ibuku jika Allah tidak merahmati diriku."Rasa takut menyelubungi.
Sayyiduna Ibn Abbas r.a. cuba menenangkan gundah-gulana khalifah yang sedang bertarung dengan kesakitan yang semakin hebat itu dengan mengungkapkan pujian terhadap kelebihan-kelebihan dianugerahkan Allah kepadanya. Umar menjawab, "Adakah pada kepimpinan itu engkau memujiku? Demi Allah! Sesungguhnya diriku berada dalam kekuasaan-Nya. Lebih aku sukai jika diriku keluar dari dunia ini sepertimana aku memasukinya, tiada pahala dan juga dosa."

Lihatlah ... Kerisauan apakah ini bagi seorang Sahabat besar yang telah pun dijamin syurga?
Saat menahan pedih tikaman itu juga masih memikirkan ingin bersama kekasihnya, Baginda s.a.w.. Lantas menyuruh anaknya, mendapatkan kebenaran Sayidatina Aisyah r.ha. agar dimakamkan jasadnya bersebelahan Nabi s.a.w.. Aisyah mengizinkan, meskipun jauh di sudut hati menginginkan tempat itu.

Tawaduknya Umar. Betapa seorang insan yang telah dijamin oleh Baginda s.a.w. sebagai ahli syurga masih bimbang perihal kedudukannya setelah wafat. Sesungguhnya pada dirinya ada suatu rasa kehambaan murni yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w.. Lihat sahaja Baginda s.a.w., sudah diampun dosa lalu dan akan datang, tetap beristighfar melebihi 70 kali sehari. Menghidupkan malam sehingga bengkak kakinya. Tatkala ditanya oleh Sayidatina Aisyah r.ha., maka dijawab, " Tiada salahnya untuk diriku menjadi hamba yang bersyukur."

Nah, rasa inilah yang diwarisi Umar al-Khattab yang dahulunya bengis ketika jahil, kini tunduk dengan rasa kehambaan yang begitu murni kepada Allah s.a.w.. Mengakhiri  umur dengan kecintaan mendalam terhadap kekasih. Semoga kita mewarisi rasa tersebut.   
0 Responses

Post a Comment