Cappuccino


-by Zainal Fahmi -

Pernahkah kita membayangkan bahawa apabila tiba masanya, kita akan terbujur kaku dan tidak bergerak-gerak lagi. Kemudian orang ramai akan memandikan, mengkafankan dan mengusung kita di atas tandu jenazah. Lalu nampaklah oleh kita sebuah lubang yang selama ini ditakuti oleh semua manusia yang hidup; lubang kubur.


Pernahkah kita membayangkan bahawa saat itu mereka bagaikan tidak mengasihani kita, terus dan tanpa ragu menyumbatkan jasad kita ke lubang lahad, menutupnya dengan beberapa bilah kayu atau batang pisang. Dan kemudian menguburkan kita dengan tahan, berdoa dan pergi meninggalkan kita selama-lamanya.

Melangkah Tujuh Langkah

Saat mereka pergi tujuh langkah meninggalkan kawasan perkuburan, tiba-tiba datanglah dua lembaga yang sangat menggerunkan. Soalan mereka sederhana, tetapi disampaikan dengan suara yang keras bagaikan bunyi petir di tengah hari. Manakala keadaan kita ketika itu sangat lemah, kesejukan, ketakutan dan tidak bermaya.

Saudaraku, jika anda berasa takut dan gerun, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pun juga sangat merisaukan keadaan tersebut yang akan menimpa setiap umatnya. Oleh itu, baginda s.a.w. sebagai Nabi kita tercinta telah mengajarkan kepada kita amalan-amalan hebat yang akan berguna pada saat menghadapi perkara seperti itu.

Read More here >>



Disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir hadis berikut:
Daripada Ibn Abbas berkata: "Sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w. mendirikan khemah di atas sebuah kubur, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui bahawa itu adalah sebuah kubur. Tiba-tiba ada satu kubur manusia yang (terdengar) sedang membaca surah al-Mulk hingga selesai. Maka sahabat itu pun datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Ya Rasulullah, saya mendirikan khemah di atas satu kubur, sedangkan saya tidak mengetahui itu adalah kubur. Tiba-tiba (terdengar) suara manusia membaca surah al-Mulk Tabaarak sehingga selesia." Maka bersabda Rasulullah s.a.w.:"Itu adalah surah pelindung, itu adalah surah penyelamat yang menyelamatkannya daripada azab kubur."" (Riwayat at-Tirmizi)

Terselamat Daripada Azab

Hadis ini semakna dengan hadis lain daripada Anas bin Malik r.a.  bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud: "Terdapat satu surah dalam al-Quran yang hanya (terdiri dari) tiga puluh ayat dan akan membela orang yang selalu membacanya (di hadapan Allah S.W.T.) sehingga dia dimasukkan ke dalam syurga, iaitu surat: "Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerjaan" iaitu surah al-Mulk." (Riwayat Tabarani dalam al-Mu'jam al-Ausath (no. 3654) dan al-Mu'jam ash-Shagir (no.490), dinyatakan Sahih oleh al-Haitsami dan Ibnu Hajar)

Maka, surah al-Mulk jika diamalkan setiap hari tidak hanya menyelamatkan seseorang daripada azab kubur, tetapi juga menemaninya sehingga sampai ke dalam syurga. Justeru itu, surah al-Mulk ini termasuk surah-surah al-Quran yang biasa dibaca oleh Rasulullah s.a.w. sebelum tidur di malam hari, kerana agungnya kandungan maknanya. (Riwayat at-Tirmizi (no. 2892) dan Ahmad (3/340)

Saudara, marilah kita kembali membayangkan tubuh kita yang kaku terbujur tidak bermaya di dalam lubang kubur. Dan teladanilah kebiasaan Nabi s.a.w. untuk membaca surah al-Mulk setiap malam hari. Agar timbullah keyakinan dan ketenteraman dalam jiwa kita menghadapi maut.

Wallahu a'lam.
0 Responses

Post a Comment