Cappuccino
- by Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid -

Keluarga merupakan kelompok pertama dalam membina sebuah masyarakat harmoni, berprestasi, maju dan mempunyai kredibiliti yang tinggi. Keluarga dengan individu yang soleh akan melahirkan masyarakat yang baik, seterusnya membina ummah beretika dan berakhlak mulia. Oleh sebab itu, Islam memberi perhatian yang penuh serta bimbingan yang jelas dalam kehidupan berumah tangga secara teori atau konsep, dan juga secara praktikal.

Secara teori Allah s.w.t. berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri-diri kamu dan ahli keluargamu daripada api neraka."(At-Tahrim 66:6)

Maksud menjaga ahli keluarga adalah dengan menasihati, mengajar serta membimbing mereka agar mengetahui perintah-perintah agama dan larangan-larangannya. Seterusnya mentaati segala perintah tersebut sebagai usaha berterusan untuk selamat daripada api neraka. Dalam ayat ini, terdapat beberapa perkara yang penting:

Perintah wajib - Tidak ada perkara yang lebih wajib daripada menjaga dan menyelamatkan keluarga yang kita sayangi daripada api neraka.

Keutamaan - Mendahulukan diri sendiri dan ahli keluarga dalam penjagaan itu.

Diakui keimana - Orang yang melakukan tanggungjawab ini diakui keimanannya oleh Allah s.w.t. kerana seruan Allah dalam ayat ini adalah kepada orang-orang yang beriman.

Seruan - Ditujukan kepada orang yang bertanggungjawab ke atas ahli keluarganya, terutama suami atau ayah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik kepada ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik ahli kerluargaku." (Riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini juga memberi dua maksud umtama:
- Perintah berbuat baik kepada ahli keluarga.
- Pemberitahunan bahawa Rasulullah s.a.w. model terbaik dalam membimbing keluarga.

Untuk berjaya menunaikan perintah yang pertama, hendaklah dengan melakukan juga perkara yang kedua iaitu menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai model dalam membina keluarga. Seterusnya membina masyarakat dan ummah yang mempunyai keperibadian mulia.

Read More here >>

Dalam membimbing keluarga secara praktikal, Rasulullah s.a.w. adalah model utama. Baginda tidak pernah abai membantu, membimbing dan membahagiakan ahli keluarganya. Sayidatina Aisyah r.ha. pernah ditanya tentang kehidupan Rasulullah s.a.w. di rumah. Kata Aisyah, "Rasulullah s.a.w. apabila masuk ke rumah, kebiasaannya akan melayan keluarganya, tetapi jika panggilan solat tiba beliau segera keluar menuju masjid untuk menunaikan solat berjemaah." (Riwayat al-Bukhari)

Meskipun terdapat jurang perbezaan usia yang sangat ketara antara Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha., kehidupan berumah tangga Baginda begitu romantis dan harmoni. Dengan kesantunan dan kasih sayang, Rasulullah membimbing isterinya yang masih sangat muda dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh dugaan.

Baginda s.a.w. tidak memaksa isterinya melakukan perkara-perkara yang berat, sebaliknya sentiasa membantu meringankan beban keluarga. Baginda mencuci pakaian sendiri, memerah susu kambing dan biasa pergi ke pasar membeli keperluan keluarga. Tidak pernah Baginda berasa malu atau enggan walaupun Baginda adalah seorang rasul.

Sayidatina Aisyah r.ha. berkata, "Rasulullah s.a.w. apabila berada di rumah terkadang menjahit baju dan seliparnya." (Riwayat Ahmad)

Memandangkan usia Aisyah yang masih muda, Rasulullah s.a.w. tidak pernah melarangnya bermain dengan teman sebaya. Hal ini diceritakan sendiri oleh Ummul Mukminin Aisyah, "Dahulu aku suka bermain dengan anak patung bersama teman-temanku. Jika Rasulullah s.a.w. tiba, maka teman-temanku segera bersembunyi di balik tirai. Rasulullah s.a.w. menyuruh mereka untuk bermain bersamaku." (Riwayat Bukhari)

Dalam kehidupan Rasulullah s.a.w., akan nampak hubungan yang amat mesra. Baginda suka tersenyum, tutur kata yang lemah lembut dan kadang-kadang bercanda sambil tertawa.

Suatu hari, sekembali daripada Perang Tabuk atau Hunain, angin berhembus dan menyingkap tirai yang menutupi rak penyimpanan anak patung Aisyah r.ha.

Rasulullah s.a.w. bertanya, "Wahai Aisyah, apakah itu?"

"Anak patungku," jawab Aisyah. Di antara anak patung itu terdapat anak patung kuda bersayap dan sayapnya diperbuat daripada kulit.

Rasulullah bertanya lagi, "Yang ini apa?" "Kuda."

"Kuda bersayap?" tanya Rasulullah lagi. "Apakah engkau tidak pernah mendengar bahwa dahulu Nabi Sulaiman a.s. mempunyai seekor kuda yang bersayap?" Mendengar jawapan  isterinya itu, Rasulullah s.a.w tertawa sehingga nampak giginya. (Riwayat Abu Daud)

Menanyakan kegiatan isteri dan berusaha untuk memahaminya adalah satu sikap yang baik. Pertanyaan kecil seperti di atas menjadikan isteri berasa, lebih dihargai, difahami dan sisayangi. Ini adalah salah satu cara untuk menciptakan rumah tangga bahagia yang diajarkan Rasulullah s.a.w.

Pokok yang tidak berbuah seperti cemara, tumbuh tinggi dan lurus, mengangkat kepalanya ke atas. Sedangkan pokok yang berbuah akan menundukkan kepalanya dan cabang-cabangnya mengembang ke samping. Meskipun memiliki segala kebajikan dan keutamaan Rasulullah s.a.w. sentiasa merendahkan diri. Wallahu 'a'lam.

2 Responses
  1. Mas Yudi Says:

    Benar sekali, keluarga merupakan cerminan akhlak seseorang....


  2. TeknologiRAF Says:

    Subhanallah, bermanfaat sekali artikelnya, karena keluarga merupakan faktor kehidupan terpenting. Baca juga seputar Aplikasi presentasi di http://teknologiraf.com/software-selain-powerpoint-untuk-presentasi/.


Post a Comment