- by Shahrul Zaman Lukman -
Meskipun membesar di negeri Rom, Suhaib tidak pernah lupa diri bahawa dia bukan orang Rom. Dia adalah orang Arab, meskipun loghat bahasa Arabnya sudah tidak lancar lagi. Hasratnya untuk pulang semula ke tanah airnya tidak pernah padam.
Al-Ubullah merupakan sebuah kota tua yang termasuk dalam wilayah Basrah. Al-Ubullah diperintah seorang gabenor yang bernama Sinan bin Malik. Sinan mempunyai seorang anak kecil sekitar usia lima tahun yang sangat dicintainya bernama Suhaib. Anak yang aktif dan periang, membuatkan hati Sinan berasa senang apabila melayaninya dan melupai sejenak kesibukannya sebagai gabenor.
Suatu hari Suhaib yang masih kecil ketika itu dan ibunya berangkat ke sebuah kampung bernama al-Tsany, Iraq. Tanpa diduga kampung berkenaan diserang tentera Rom. Mereka membunuh ramai penduduk kampung, mencuri harta dan menawan yang lainnya termasuk Suhaib.
Suhaib dibawa ke negeri Rom dan dijual untuk dijadikan hamba. Hiduplah Suhaib sebagai hamba abdi, walhal ayahnya adalah seorang gabenor wilayah. Tuannya bersilih ganti, termasuklah daripada kalangan pembesar istana.
Sepanjang masa yang dilaluinya itu, membuatkan dirinya mengenali masyarakat Rom secara lebih mendalam. Dia mendapati di dalam istana-istana mereka penuh dengan perbuatan hina dan keji. Kezaliman berleluasa. Suhaib membenci gaya hidup seperti itu. Suhaib pernah berkata bahawa masyarakat Rom tidak dapat disucikan kembali kecuali ditimpa angin taufan.
Bertambah membara keinginannya apabila mendengar seorang pendeta Nasrani memberitahun tuannya, "Sudah hampir sebuah zaman akan muncul di Makkah di semenanjung Arab seorang nabi yang membenarkan ajaran Isa putera Maryam. Mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju satu cahaya."
Selepas dibebaskan, Suhaib segera bertolak ke Makkah. Perkhabaran daripada sorang Nasrani sedikit masa dahulu sangat mempengaruhi mindanya. Di Makkah, Suhaib dikenali dengan nama Suhaib si Rom kerana dialek bahasanya yang sukar difahami dan rambutnya yang berwarna kemerah-merahan.
Allah s.w.t. telah merakamkan peristiwa hijrah Suhaib ar-Rumi di dalam al-Quran, "Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya." (Al-Baqarah 2:207)
Datang ke Makkah dalam keadaan sehelai sepinggang. Lama-kelamaan Suhaib berjaya mengumpul kekayaan. Namun saat mendapat perintah hijrah ke Yasrib, semua kekayaannya ditinggalkan begitu sahaja. Ketika Rasulullah s.a.w. bertemu Suhaib di Quba', Baginda menyapa dengan mesra, "Perdagangan untung, ya Abu Yahya. Perdagangan untung!" Rasulullah s.a.w. mengulanginya sebanyak tiga kali.
Itulah Suhaib bin Sinan bin Malik bin 'Abd bin 'Amr bin 'Aqeel bin 'Amir bin Jandalah. Dikenali sebagai Suhaib ar-Rumi r.a. Susuk badan berketurunan bangsa Arab yang tinggal lama di negeri Rom.
Post a Comment