Cappuccino
- by Zuraimi Ismail -

Segala-galanya sudah diputuskan. Hati sudah nekad dan niat sudah bulat. Biar apa pun yang terjadi, pergi tetap pergi. Berpantang maut sebelum ajal.

Gendang perang sudah pun dipalu. Rasulullah saw sedang bersiap diri untuk menyahut bunyi paluan itu. Gemanya beralun memenuhi ruang angkasa. Kemudian menjauh dan terus menjauh dibawa terbang dek deru angin padang pasir hingga ke lereng-lereng perbukitan di dataran Uhud. Di sanalah medan tempurnya.

Rasulullah saw melemparkan pandangan ke arah sekumpulan Sahabat yang sedang menunggu Baginda. Daripada warna wajah mereka, secalit pun tidak terlukis bayang-bayang takut atau cemas. Tiada apa yang perlu ditakutkan kiranya bunyi semboyan perang itu adalah suara-suara lambaian sang bidadari di taman syurga.

"Salam ke atas engkau, wahai Nabi Allah," ucap satu suara tiba-tiba. Rasulullah saw lantas berpaling. Air muka Baginda sedikit bertukar, seketika.

"Untuk apa engkau ke mari, wahai Amar bin Tsabit?" Rasulullah saw mengaju pertanyaan.

"Wahai Nabi Allah, aku meminta belas ihsanmu. Islamkan aku, " kata Amar sungguh-sungguh.

Tuntutan itu mengejutkan Rasulullah saw. Namun Baginda menyambut dengan senyum kesyukuran. Apabila Allah melimpahkan taufik dan petunjuk-Nya ke dalam hati seseorang hamba-Nya, mudah sahaja berlaku perubahan meskipun mendadak dan tidak pernah terduga oleh sesiapa.

Read More here >>

Amar bin Tsabit terkenal sebagai seorang yang angkuh. Berasal dari Bani Asyhali. Ketika kaumnya berbondong-bondong masuk Islam, Amar menjauhkan diri. Walhal, Saad bin Muaz, tokoh terkemuka Bani Asyhali juga menerima seruan Rasulullah saw.

Medan Uhud menyaksikan kehebatan amar bin Tsabit berperang sebagai pahlawan yang baru dianugerahi bintang ke Islaman. Penganugerahan yang dibuat pada saat-saat yang agak genting, sebentar sahaja sebelum berangkat ke medan perang ternyata mendatangkan keuntungan kepada tentera Muslimin.

Namun begitu, Amar bin Tsabit r.a. tidak sempat menyaksikan badak-badak akhir peperangan. Maut terlebih dahulu datang menjemputnya. Amar gugur sebagai seorang syahid. Apabila berita kematian Amar disampaikan kepada Rasulullah saw, Baginda menjawab, "Amar akan berada di syurga."

Iman yang baru sahaja bertunas di dalam jiwa Amar telah menjadikan laluannya menuju Allah sangat selesa, aman dan tenteram. Demikianlah kesan dakwah Rasulullah saw, seorang yang baru sahaja beriman tidak teragak-agak menyerahkan diri sepenuhnya kepada perjuangan Islam.

Kisah Amar bin Tasbit ini sungguh menarik dijadikan iktibar, mendorong Abu Hurairah r.a. melontarkan soalan mengenainya kepada sekumpulan  kaum Muslimin. "Cuba kamu katakan kepadaku, siapakah yang masuk syurga sedangkan dia tidak pernah solat kepada Allah walaupun sekali?"

"Jika kamu tidak dapat menjawab, aku akan beritahu," kata Abu Hurairah lagi apabila pertanyaanya tidak disambut. "Dia ialah Amar bin Tsabit bin Waqsy."


0 Responses

Post a Comment