Dakwah Islam ketika ia mula-mula disebarkan di kalangan masyarakat Arab Jahiliah di Mekah telah mendapat tentangan yang cukup hebat daripada orang-orang kafir Mekah. Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dianggap sebagai suatu ajaran yang pelik lagi ganjil oleh orang-orang Arab Jahiliah ketika itu kerana ia bercanggah dengan apa yang menjadi pegangan dan fahaman yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka.
Walaubagaimanapun, dengan izin Allah hasil usaha gigih Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menyebarkan dakwah Islam dengan dibantu oleh Para Sahabat akhirnya agama Islam tersebar luas dan masyarakat Arab berduyun-duyun memeluk Islam khususnya sesudah pembukaan Kota Mekah pada tahun lapan Hijrah. Dakwah Islam terus tersebar dan berkembang sesudah kewafatan Baginda sebagaimana yang dapat disaksikan dengan adanya pembukaan kota-kota Islam yang baru. Umat Islam pun terus berkembang dan bertambah sehinggalah seperti mana yang kita lihat pada hari ini.
Akan tetapi dalam masa yang sama, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadis menyatakan akan suatu hakikat pahit yang akan berlaku kepada agama Islam atau dengan lebih tepat ajarannya secara khasnya. Baginda menyatakan bahawa ajaran Islam sebagaimana ia bermula dalam keadaan asing dan tidak dapat diterima oleh masyarakat ia akhirnya akan kembali begitu di akhir zaman. Dengan ertikata lain, bilangan umat Islam mungkin akan terus bertambah tetapi dalam masa yang sama umat Islam sedikit demi sedikit akan terus menyisihi ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam akan kembali menjadi asing kerana keadaan majoriti masyarakat Islam ketika itu yang berpegang kepada ajaran dan fahaman yang hakikatnya tidak menepati ajaran Islam yang sebenar manakala amal ibadah yang mereka kerjakan pula tidak menepati Sunnah Baginda .
Hakikat ini disebutkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sabdanya:
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ فَطُوبَى للغرباء
“Agama Islam telah bermula dalam keadaan asing dan ia akan kembali seperti mana ketika ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (Al-Ghurabaa’).” (Muslim)
Dalam riwayat lain, Baginda ditanya: Siapakah mereka (orang-orang asing itu) wahai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam? Jawab Baginda:
الَّذِينَ يُصْلِحُونَ إذَا فَسَدَ النَّاسُ
“Mereka yang tetap berlaku baik ketika mana masyarakat sudah menjadi rosak.”
(Sahih. Riwayat Abu Amru Al-Dani dalam Al-Sunan Al-Waridah Fi Al-Fitan. Silsilah Al-Sahihah oleh Sy. Albani No. 1273)
(Sahih. Riwayat Abu Amru Al-Dani dalam Al-Sunan Al-Waridah Fi Al-Fitan. Silsilah Al-Sahihah oleh Sy. Albani No. 1273)
Dalam riwayat lain Baginda menjelaskan:
طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ أُنَاسٌ صَالحُونَ في أنَاس سُوءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أكْثَرُ ممَّنْ يُطِيعُهُمْ
“Beruntunglah orang-orang yang asing (Al-Ghurabaa’). Orang-orang soleh yang sedikit di kalangan manusia yang ramai. Orang-orang yang menyelisihi mereka lebih ramai daripada orang-orang yang mengikut mereka.” (Sahih. Riwayat Ibnu Mubarak dalam Al-Zuhd)